Tuesday, August 22, 2006

ANWAR GEGAR LEMBAH PANTAI

KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat Anwar Ibrahim menyebut, dalam isu konflik antara bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir dan Perdana Menteri Abdullah Badawi, menyebut bahawa rakyat tidak harus diheret sama dalam pertelingkahan ini kerana masalah sebenar kita ialah sebuah sistem yang zalim.

"Apa bezanya Rafidah (Aziz) dalam kabinet Dr. Mahathir dan Rafidah dalam kabinet Pak Lak," katanya lagi, memberikan contoh sinis, dalam sebuah ucapan di Perumahan Pantai Permai, Pantai Dalam, ahad lalu.

Menurut Anwar, tentangan yang diberikannya adalah tentangan kepada pemimpin yang korup dan zalim.

"Saya bukan menentang pemimpin Umno tetapi yang kita tentang adalah pemimpim Umno yang rasuah,' rujarnya lagi.

Beliau menambah bahawa beliau tidak berniat sekali-kali untuk kembali menyarung baju Umno.

Dalam ucapan lebih kurang setengah jam yang tidak mendapat permit pihak polis itu walau bagaimana pun tidak mendapat sebarang gangguan dan berakhir dengan aman. Ketua Angkatan Muda Ezam Mohamad Nor yang berucap sebelum itu memberi jaminan kepada pihak polis bahawa perhimpunan itu akan berakhir dengan aman tanpa sebarang masalah.

Dalam ucapannya, dia menyentuh soal surat antara Dr. Mahathir dengan Perdana Menteri Singapura berikutan isu jambantan bengkok yang mana statusnya ditarik balik daripada Akta Rahsia Rasmi (OSA). Dalam ulasan beliau itu dijelaskan bahagaimana manipulasi kerajaan dalam maklumat-maklumat kerajaan.

Ezam pernah ditahan kerana dikatakan membongkarkan rahsia rasmi kerajaan dalam kes 'rahsia kotak Ezam'.

Anwar Ibrahim telah menerima jemputan bersembahyang Magrib berjemaah bersama penduduk setempat dan mengunjungi rumah pengerusi persatuan penduduk di kawasan perumahan yang baru dibuka itu.

Kedatangan beliau disambut sekurang-kurangnya oleh 100 orang penduduk dan 200 orang pemuda AMK Lembah Pantai dan dihadiri seramai 4500 orang pengunjung dari pelbagai kaum.