Friday, June 29, 2007

Reformasi tidak mati

Harapnya blog ini menjadi sumber informasi Keadilan Wilayah Persekutuan. Itu saja.

Terima kasih kerana terus memberikan perhatian kepada blog ini. Sejak beberapa bulan lalu, saya menerima pelbagai teguran daripada pengunjung mengenai blog ini yang lama tidak dikemaskini. Saya tidak menjawabnya sehinggalah hari ini. Maka, untuk menjaga nama baik dan menjelaskan kekeliruan, biarlah saya terangkan di sini, hari ini.

Suka saya menjelaskan, sejak awal, blog ini tidak berkala dan dibangunkan secara sukarela. Komitmen saya pada mulanya agak besar dan begitu juga dengan akses yang saya ada. Saya mendapat bahan kebanyakannya daripada sumber pertama dan media rasmi parti. Oleh itu, blog ini menjadi hidup.

Ketika saya membangunkannya, saya tidak memberitahu sesiapa dan tidak mempromosikannya. Saya juga memilih merahsiakan diri. Hits blog ini meningkat mendadak sejak Anwar Ibrahim 3.0 membuat pautan di laman mereka. Pautan tersebut dibuat tanpa mengetahui siapa penyelenggaranya dan tanpa memberitahu saya. Saya melihat ini sebagai solidariti utuh di kalangan bloger Reformasi.

Sekarang saya tidak lagi punya akses untuk maklumat reformasi. Saya bukan seorang ahli politik dan tidak aktif dalam organisasi parti di semua peringkat. Saya tidak dapat memberikan tumpuan penuh kerana saya mempunyai komitmen lain. Saya sangat sibuk dengan pekerjaan saya. Saya meminati karya kreatif dan saya perlu menulis sajak dan cerpen. Itu adalah dunia pertama saya. Saya juga membangunkan blog berkonsep majalah (blogzine) berjudul Republik Kata bersama penulis bebas Sam Ahmad. Blogzine ini berkisar tentang pelbagai isu, dan banyaknya soal kebudayaan, politik dan sastera. Dalam Republik Kata, kami mengambil jalur indie (bebas) yang tidak boleh dibikin dalam media organ politik parti. Republik Kata adalah sebuah blog yang obses dengan semangat anak muda, kebebasan, perubahan, intelektual dan seni budaya.

Di sini saya banyak menulis berita. Di sana banyaknya artikel. Sedikit berbeza. Di sini fakta, di sana pandangan. Harap Republik Kata boleh memberi dimensi baru dan meneroka sisi-sisi lain. Kami cuba mengetengahkan pandangan politik rasional. Melupuskan emosi, taksub dan sifat fantik.

Walau bagaimana pun, saya tidak akan tutup blog ini. Harapnya tidak. Saya sayang sekali. Saya ada juga majukan perkara ini kepada beberapa orang yang aktif bergiat dalam parti tetapi saya belum mendapat respon. Saya harap akan menerimanya dan boleh mengaktifkan semula blog ini. Jika tidak mungkin saya akan tutup. Sayonara untuk semua.

Saya juga menawarkan kepada sesiapa yang berminat, mempunyai semangat dan stamina, boleh berhubung dengan saya untuk menjadi penyumbang untuk blog ini. Saya juga hairan, setelah beberapa tahun parti ini wujud, tiada siapa yang mengambil inisiatif menghasilkan blog untuknya mewakili suara reformis Wilayah Persekutuan. Kalaupun nanti saya tiada, saya harap blog ini terus ada.

Janganlah jadi orang yang mengaku jadi aktivis parti tapi pemalas. Kita tidak boleh menang dengan tabiat itu.

Thursday, February 01, 2007

Anwar ceramah di Kampung Dato' Haron


Anwar Ibrahim akan berceramah pada 3 Februari 2007 (Sabtu), 9:00 malam di Padang Reformasi yang beralamat seperti berikut: 32, Jalan Medan (masuk melalui Taman Dato' Haron), Jalan Klang Lama/NPE.

Ceramah dianjurkan oleh Bahagian PJ Selatan. Turut berceramah adalah Dr. Syed Husin Ali, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Sivarasa Rasiah.

Maklumat lanjut hubungi Maharul di talian +6019-2859984.

Iklan ini dipetik daripada Anwar Ibrahim 3.0 dan sebaran melalui SMS.

Friday, January 19, 2007

Wan Azizah Rasmi Pejabat Bandar Tun Razak

Presiden Keadilan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail akan merasmikan Pejabat Keadilan Bahagian Bandar Tun Razak dan seterusnya ke jamuan teh pada 21 Januari 2007 (Ahad) di 38A, Jalan 10/118B, Desa Tun Razak. Majlis tersebut akan bermula pada jam 2 petang.

Keadilan Bandar Tun Razak adalah antara Bahagian terkuat di Wilayah Persekutuan dan dijangka memberikan tamparan hebat kepada Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang.

Lawatan Presiden ke Wilayah Persekutuan


Presiden Datin Seri Wan Azizah Wan Islamil akan melawat beberapa kawasan di Wilayah Persekutuan pada 20 dan 21 Januari (esok dan lusa) ini. Beliau akan diiringi oleh Ketua Wanita Pusat Fuziah Salleh.

Pada esok hari, Presiden akan menghadiri Dialog Gerak Kerja Pilihan Raya Keadilan dan PAS Titiwangsa. Dialog melibatkan profesional itu akan turut melibatkan Bendahari Keadilan Tan Sri Khalid Ibrahim dan Irene Fernandez di Kampung Dato' Keramat. Pada malam itu beliau akan turut berceramah.

Lusa, Presiden akan menghadiri Jumble Sale di Brickfields, bersebelahan dengan Stesen KL Monorel dan Pejabat Perhubungan Negeri Wilayah Persekutuan dan pada kemudian Wan Azizah akan bersama-sama penduduk Seksyen 1, Wangsa Maju untuk sebuah program Hi-Tea.

Wednesday, December 13, 2006

Anwar Gegar Wilayah (Lagi)

Penasihat Parti Dato' Seri Anwar Ibrahim akan berceramah pada 19 Disember 2006, Ahad di Flat Seri Melaka, Cheras jam 9 malam. Turut berceramah dalam majlis tersebut adalah Naib Presiden Dr. Lee boon Chye, Timbalan Setiausaha Agung Dr. Xavier Jayakumar dan Pengerusi Perhubungan Keadilan Wilayah Persekutuan Dr. Sanusi Osman sendiri.

Ceramah ini adalah kali pertama selepas 'tragegi' Lembah Pantai yang berjaya memperoleh permit polis dan dijangka mendapat sokongan ramai daripada semua pihak dan kaum.

Thursday, November 02, 2006

Umar Tan meninggal dunia

Ketua Penerangan keADILan Wilayah Persekutuan Umar Tan kembali ke rahmatullah pada 4.50 pagi semalam di Hospital Putrajaya kerana serangan jantung. Beliau lebih dikenali sebagai Tan Reformasi.

Baca lanjut dalam Keadilan Rakyat

Wednesday, November 01, 2006

Rumah Terbuka keADILan Wilayah Persekutuan

keADILan Wilayah Persekutuan akan mengadakan Majlis Rumah Terbuka sempena dengan Hari Raya Aidilfitri pada 12 November 2006 (Ahad) di perkarangan tempat letak kereta, Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam.

Majlis tersebut dimulakan pada 12:00 tengah hari sehingga 4:00 petang dan dijangkan mendapat sambutan ramai oleh penduduk setempat. Majlis yang berkonsepkan gerai itu mendapat penglibatan semua bahagian-bahagian keADILan di Wilayah Persekutuan, tidak termasuk Labuan. Setiap gerai akan menyediakan juadah yang berbeza-beza.

Ramadan lalu, kunjungan Presiden ke Lembah Pantai mendapat sambutan yang memberangkan daripada orang ramai. Begitu juga dengan kunjungan Penasihat parti Dato' Seri Anwar Ibrahim di Perumahan Pantai Permai yang hanya bersebelahan dengan Taman Bukit Angkasa pada 20 Ogos 2006 yang lalu.

Majlis ini diarahkan oleh Bendahari keADILan Wilayah Persekutuan Osman Karim dan sebarang pertanyaan boleh dimajukan kepada Sekretariat Keadilan Wilayah Persekutuan di talian 03-22724220 atau e-mel pada sukwp@yahoo.com.my.

Tuesday, October 10, 2006

Perutusan Ramadan, Aidilfitri dan Deepavali

Kembali kepada fitrah, semangat mengatasi keburukan

keADILan Wilayah Persekutuan mengucapkan selamat berpuasa dan menyambut Hari Raya Aidilfitri dan perayaan Deepavali yang bakal tiba kepada seluruh rakyat Malaysia.

Seperti yang kita semua maklum, berpuasa dapat mengingatkan dan menginsafi diri bahawa dalam keadaan ekonomi yang kononnya makmur dan mewah ini, masih terdapat di kalangan kita yang kelaparan dan hidup dalam serba kekurangan. Oleh itu menjadi kewajipan kita bangun bersama-sama berjuang menegakkan sebuah negara yang adil, bebas dan peduli terhadap nasib warganya.

Aidilfitri yang akan kita sambut nanti mewakili semangat agar kembali kepada fitrah kejadian manusia yang suci dan bersih. Manakala Deepavali pula asalnya meraikan bagaimana kuasa kebaikan (cahaya) mengalahkan kejahatan (kegelapan).

Oleh itu, atas semangat dua perayaan besar ini, kami menyeru supaya rakyat terus mempertahan dan memperjuangkan semangat kebebasan dan keadilan sesuai dengan fitrah dan kejadian manusia. kemudian, kita dapat saksikan bagaimana cahaya kebaikan itu mengalahkan kejahatan-kejahatan dalam politik negara kita yang sedang korup dan menyimpang dari landasan yang sepatutnya.

Selamat menyambut Ramadan serta Aidilfitri dan Deepavali yang bakal menjelang.


Moderator dan tenaga sokongan epkrwilayah.
Kuala Lumpur