Friday, June 29, 2007

Reformasi tidak mati

Harapnya blog ini menjadi sumber informasi Keadilan Wilayah Persekutuan. Itu saja.

Terima kasih kerana terus memberikan perhatian kepada blog ini. Sejak beberapa bulan lalu, saya menerima pelbagai teguran daripada pengunjung mengenai blog ini yang lama tidak dikemaskini. Saya tidak menjawabnya sehinggalah hari ini. Maka, untuk menjaga nama baik dan menjelaskan kekeliruan, biarlah saya terangkan di sini, hari ini.

Suka saya menjelaskan, sejak awal, blog ini tidak berkala dan dibangunkan secara sukarela. Komitmen saya pada mulanya agak besar dan begitu juga dengan akses yang saya ada. Saya mendapat bahan kebanyakannya daripada sumber pertama dan media rasmi parti. Oleh itu, blog ini menjadi hidup.

Ketika saya membangunkannya, saya tidak memberitahu sesiapa dan tidak mempromosikannya. Saya juga memilih merahsiakan diri. Hits blog ini meningkat mendadak sejak Anwar Ibrahim 3.0 membuat pautan di laman mereka. Pautan tersebut dibuat tanpa mengetahui siapa penyelenggaranya dan tanpa memberitahu saya. Saya melihat ini sebagai solidariti utuh di kalangan bloger Reformasi.

Sekarang saya tidak lagi punya akses untuk maklumat reformasi. Saya bukan seorang ahli politik dan tidak aktif dalam organisasi parti di semua peringkat. Saya tidak dapat memberikan tumpuan penuh kerana saya mempunyai komitmen lain. Saya sangat sibuk dengan pekerjaan saya. Saya meminati karya kreatif dan saya perlu menulis sajak dan cerpen. Itu adalah dunia pertama saya. Saya juga membangunkan blog berkonsep majalah (blogzine) berjudul Republik Kata bersama penulis bebas Sam Ahmad. Blogzine ini berkisar tentang pelbagai isu, dan banyaknya soal kebudayaan, politik dan sastera. Dalam Republik Kata, kami mengambil jalur indie (bebas) yang tidak boleh dibikin dalam media organ politik parti. Republik Kata adalah sebuah blog yang obses dengan semangat anak muda, kebebasan, perubahan, intelektual dan seni budaya.

Di sini saya banyak menulis berita. Di sana banyaknya artikel. Sedikit berbeza. Di sini fakta, di sana pandangan. Harap Republik Kata boleh memberi dimensi baru dan meneroka sisi-sisi lain. Kami cuba mengetengahkan pandangan politik rasional. Melupuskan emosi, taksub dan sifat fantik.

Walau bagaimana pun, saya tidak akan tutup blog ini. Harapnya tidak. Saya sayang sekali. Saya ada juga majukan perkara ini kepada beberapa orang yang aktif bergiat dalam parti tetapi saya belum mendapat respon. Saya harap akan menerimanya dan boleh mengaktifkan semula blog ini. Jika tidak mungkin saya akan tutup. Sayonara untuk semua.

Saya juga menawarkan kepada sesiapa yang berminat, mempunyai semangat dan stamina, boleh berhubung dengan saya untuk menjadi penyumbang untuk blog ini. Saya juga hairan, setelah beberapa tahun parti ini wujud, tiada siapa yang mengambil inisiatif menghasilkan blog untuknya mewakili suara reformis Wilayah Persekutuan. Kalaupun nanti saya tiada, saya harap blog ini terus ada.

Janganlah jadi orang yang mengaku jadi aktivis parti tapi pemalas. Kita tidak boleh menang dengan tabiat itu.